Jam menunjukkan tepat pukul 4 pagi, aku masih terjaga di saat semua orang sudah melelapkan mata dan bersedia untuk mencari rezeki di keesokan paginya. Angin bisikan pagi yang sungguh dingin seperti meniupkan sesuatu di telinga aku dan tiba-tiba hatiku mula terdetik sesuatu perkara yang tidak pernah sesekalipun aku fikirkan dengan serius. Bagaimana kehidupan aku 5 tahun akan datang, 10 tahun, atau 20 tahun mungkin. Adakah aku tetap akan menjadi Saiful Adly yang sekarang atau berubah menjadi seorang yang sudah terpesong dari jalan yang lurus. Aku bukan pesimistik dan juga bukan seorang yang optimistik, tapi tidak salah jika membuat andaian jika ia boleh menyedarkan diri kita supaya berpijak di bumi yang nyata. Adakah lagi pengalaman-pengalaman indah bersama kawan-kawan, lawak-lawak bodoh yang sering terpacul keluar dari mulut, pergaduhan dan persengketaan, semuanya merupakan perencah yang menyedapkan lagi kehidupan kita di muka bumi ini. Semua orang akan membesar dan umur menjadi penanda bahawa kita juga perlu peka dengan penambahan angka yang memerlukan kita berubah dari semasa ke semasa. Mungkin 10 tahun akan datang aku sudah membina sebuah keluarga dan mungkin sedang sibuk membuat tugasan di bilik pejabat tanpa sesiapa di sisi. Apapun yang berlaku, jangan biarkan kenangan indah masa lalu terpadam dibakar hakikat masa kini, hargainya setiap masa dan detik kerana pengalaman itu boleh menjadi guru yang bagus untuk pelajaran hidup kita sendiri. Seseorang boleh berubah, tapi diharapkan bahawa perubahan itu tidak membawa kemudaratan kepada diri kita dan juga orang sekeliling kita kelak. Insyallah~